PETA EGIS KAWASAN KAMPUNG

Asal Usul Keratong

Sejarah asal usul nama KERATONG disebarkan secara lisan oleh penduduk tempatan bahawa berasal dari penemuan binatang kera dan lotong (sejenis monyet) yang ditemui semasa pembukaan tanah rancangan ini.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa ia berasal dari nama bunga yang ditemui di kawasan ini yang dinamakan bunga 'keratong'. Bunga ini berbau wangi dan saiznya besar serta berwarna merah. Menurut mereka lagi, bunga ini hanya ditemui di kawasan ini sahaja. Tetapi kini bunga ini sudah pupus. Kebanyakan penduduk di sini tidak pernah melihat bunga tersebut.

Ada juga yang berpendapat bahawa nama Keratong diperolehi melalui perkataan "kerat tong".  Hal ini berikutan penduduk orang Asli yang sebelum ini mendiami kawasan ini menjadikan tong yang dikerat sebagai beg untuk mengisi hasil-hasil kutipan hutan mereka.

(Sumber : Penduduk Setempat)

Asal Usul Bandar Tun Razak

Bandar Tun Abdul Razak telah dibuka pada 1979 dan pada awalnya, bandar ini dikenali sebagai Bandar 22 mengikut perancangan kerajaan. Hal ini untuk menamakan kawasan di sekitar tenggara Pahang, yang akan berfungsi menjadi pusat pentadbiran tempatan dan ekonomi menggunakan nombor buat sementara waktu. Setelah ia memiliki potensi untuk dijadikan sebagai bandar, maka kerajaan menukarkan nama bandar dari nombor kepada nama yang lebih khusus. Bandar Tun Abdul Razak dikelilingi kawasan FELDA. Pada permulaannya, terdapat 2500 keluarga tinggal di kawasan FELDA, kebanyakannya kaum Melayu dan terdapat sejumlah kecil kaum India, Cina, dan orang Asli. Terdapat lima kawasan FELDA di Bandar Tun Abdul Razak yang melibatkan:

Felda Keratong 1

Felda Keratong 2

Felda Keratong 3

Felda Keratong 4

Felda Keratong 5


Di samping itu, terdapat juga perkampungan orang Asli yang terletak berhampiran Bandar Tun Abdul Razak seperti Kg Rekoh dan Bukit Serok; dan juga mempunyai kawasan penanaman minyak kelapa seperti Melati, Kg Aur, Ladang Bukit Berembun dan sebagainya. Walaupun Bandar Tun Abdul Razak hanyalah sebuah pekan, infrastruktur di bandar ini sebenarnya telah lengkap. Terdapat bangunan pejabat pos, balai polis, klinik perubatan, kedai, stesen bas, stesen minyak ( Petronas dan Smart),masjid, bank, dan juga dewan serbaguna. Setiap kawasan FELDA juga memiliki kedai sendiri, sekolah, dan masjid beserta komuniti yang celik IT.